Reading Time: 9 minutes

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Syukur kepada Allah Azza Wa Jalla kerana mengizinkan saya untuk membuat satu artikel yang bertajuk “Nabi Muhammad SAW BUKAN Pelarian!”. Dan artikel ini menjawab tuduhan Nabi Muhammad SAW seorang Pelarian dari artikel tuan Laksamana dalam blog beliau disini :
– https://laksamana878090175.wordpress.com/2020/04/24/muhammad-adalah-seorang-pelarian/

Sebelum ini,isu ini sebenarnya telah pun dijelaskan oleh Ustaz Emran dalam sebuah blog beliau mengenai tuduhan Nabi Muhammad SAW seorang Pelarian disini :
– http://ustaz.blogspot.com/2010/12/hijrah-rasulullah-bukan-sebuah-pelarian.html

Namun disini,saya akan menjawab artikel milik tuan Laksamana secara sederhana. Semoga bermanfaat~

Laksamana menulis,
Muhammad itu Rasul orang Islam. Beliau lahir di Mekah. Bahkan beliaulah yang diakui sebagai seorang yang sempurna dan tauladan suri buat para penganut agama Islam. Rasul itu pula bermaksud menerima wahyu dari Tuhan untuk disebarkan dakwahnya. Muhammad membawa misi keadilan sejagat, anti-rasisme, dan kemanusiaan.

Aleav Nero Ardy response :
01 – Rangkap ayat anda “Muhammad itu Rasul orang Islam” menunjukkan seolah-olah anda ingin memberitahu bahawa Muhammad SAW hanya untuk orang Islam. Yang sebetulnya,Nabi Muhammad SAW adalah Rasul Allah yang di utuskan untuk seluruh manusia.

02 – Istilah “Rasul” bermaksud “Utusan” dan ianya berasal dari kata “Risala” yang bermaksud “Pembawa Misi”. Rasul diutuskan kepada kaum yang telah kafir dan ingkar manakala Nabi diutuskan kepada kaum yang beriman untuk mengajarkan mereka perkara mereka sudah ketahui dan sudah diajarkan sebelumnya (Al-Baqarah 2:213 / Al-Araf 7:59-85 / Maryam 19:44 dan As-Saffat 37:123-126).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah berkata :
“Tidak disyaratkan bagi seorang Rasul untuk membawa syariat yang baharu, seperti halnya Nabi Yusuf yang merupakan seorang Rasul namun Baginda berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim,sementara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman merupakan Rasul namun mereka membawa ajaran Taurat. Kerana itulah disebut dalam hadith bahawa “ulama merupakan pewaris para Nabi”, kerana para ulama tidak datang membawa ajaran baharu, melainkan meneruskan ajaran Islam yang sudah diwarisi daripada Rasulullah SAW.”
[Al-Nubuwwat 2/714-718]

Laksamana menulis,
Malangnya seruan beliau dianggap pengacau oleh penduduk asal Mekah . Beliau dan pengikutnya diseksa dan diboikot. Pengikutnya terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Ada hamba, ada orang kaya raya namun tak berdaya menghadapi penguasa dan pembesar Mekah. Maka pada 615 Masehi Muhammad menyarankan pengikutnya meninggalkan negeri mereka yang mahal itu dan mencari perlindungan ke Habsyah , Ethopia hari ini. Sebuah negeri yang lain dan berbeza daripada segi budaya dan bangsa. Di Habsyah rajanya beragama Kristian menyambut dengan hati terbuka setelah mengetahui kondisi sebenar pengikut Muhammad dari Mekah itu. Para pengikut Muhammad ketika itu menaiki perahu menyeberangi laut Yaman seperti direkodkan oleh Bukhari dalam Hadis no 3587.

Kemudian gelombang kezaliman di Mekah itu telah memuncak kembali. Kali ini seorang teman Muhammad bernama Mus’ab Bin Umair keluar ke negeri Yathrib. Beliau disana menyediakan tapak untuk Rasul dan pengikut Baginda berhijrah , oleh kerana keadaan Yathrib tidak seperti Habsyah penduduk Yathrib harus diyakinkan dahulu. Usaha dakwah Mus’ab berjaya. Bahkan ramai pembesar Yathrib memeluk agama Muhammad yang mempercayai kesaksamaan, keadilan dan kemanusiaan. Mereka tidak sabar berjumpa sosok suci mereka , Rasul yang membawa mesej persaudaraan kemanusiaan dari Tuhan. Mereka menjemput Muhammad datang. Beransur-ansur pengikut Muhammad dari Mekah melarikan diri dari kezaliman.

Akhirnya giliran , Muhammad. Pada 622 Masehi di malam gelita bersama teman karibnya Abu Bakar lari dari Mekah. Saat semua manusia sedang nenyak tidur maka bergeraklah mereka. Sepanjang pelarian itu beliau juga diburu dari belakang . Sehingga ada beberapa insiden nyawa dua orang lelaki ini bagai dihujung tanduk.

Beliau disambut di Yathrib. Kemudian nama Yathrib diubah kepada Madinah bemaksud pusat ketamadunan. Melambangkan ketamadunan baharu ummat Islam. Setelah beberapa tahun, Muhammad cuba menyatukan kaum immigran (Muhajir) dan penduduk asal (Ansor). Muhajir bermaksud immigran, Ansor bermaksud host atau tuan rumah atau pembantu. Namun budaya kedua kaum ini terkadang menyukarkan asimilasi. Misalnya kaum Muhajir dari Mekah pakar dalam perniagaan sedangkan penduduk asal Ansor lebih selesa dalam pertanian. Sedikit sebanyak ini menimbulkan keresahan.

Lebih sukar apabila kaum munafik (kelompok hipokrit) mengapi-ngapikan keadaan. Gerakan ini diketuai oleh Abdullah bin Ubay seorang Ansor yang mahu menghambat pulang kaum pelarian immigran Mekah ini. Katanya mereka ini hina ((الْأَذَلَّ)) , dan negeri Madinah dan penduduk asal mulia (الْأَعَزُّ) . Sehingga sebahagian kaum Ansor termakan kempen ini. Ketegangan ini berjaya dikendurkan oleh Muhammad dengan kebijaksanaannya.

Hal ini dirakam dalam kitab suci Al-Quran:

Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang hina dina dari padanya (negeri madinah)”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui. – Surah Munafiqun ayat 8.

Para sejarawan dan ahl tafsir menceritakan hal ini dari sahabat Rasul yang bernama Ibn Abbas, Ali bin Abi Talib, Ikramah, dan Jabir bin Abdullah dari jalur sumber berbeza dengan makna yang sama.

Aleav Nero Ardy response :
Untuk hujah ini tidak ada pertikaian dari saya memandangkan tuan Laksamana ingin menceritakan kronology sirah bagaimana penghijrahan itu terjadi. Dan saya berikan kronology sirah yang menceritakan dengan lebih terperinci dalam sumber disini :
– https://www.slideshare.net/anis_sabah/kronologi-lengkap-peristiwa-hijrah-rasulullah-dari-makkah-ke-madinah
– https://www.slideshare.net/gurusejprau/hijrah-nabi-16963721

Sedikit tambahan dari saya,
Orang pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abd Al-Asad pada 1 Muharam tahun pertama Hijrah (16 July 622 Masihi). Rombongan pertama yang berhijrah ke Madinah adalah seramai 70 orang dan mereka yang berhijrah dalam kumpulan-kumpulan kecil agar tidak diketahui oleh kaum Musyrikin Makkah. Madinah dipilih sebagai tempat Hijrah kerana kesesuaiannya dari segi penyebaran agama,moral dan sosio-ekonomi.

Kegagalan dakwah di Thaif menyebabkan Nabi Muhammad SAW cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Makkah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Thaif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Makkah. Nabi Muhammad SAW berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Makkah kurang menggalakkan. Nabi Muhammad SAW agak kecewa dengan sikap penduduk Makkah. Di Makkah selama 13 tahun,bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun sewaktu berdakwah di Madinah.

Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi Muhammad SAW telah mendorong baginda untuk berhijrah ke Madinah. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi Muhammad SAW dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dengan Judah dan antara orang Arab sesama Arab khususnya puak Aus dan Khazraj. Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ianya juga berpotensi menyaingi kedudukan Makkah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini,Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik bahkan dari segi ekonomi. Hijrah berlaku apabila Nabi Muhammad SAW menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah surah Al-Anfal 8:30 / At-Tawbah 9:40 / Ali-Imran 3:195 / At-Tawbah 9:20-22 / An-Nahl 16:41 / An-Nisa 4:100 dan Al-Hajj 22:58. Ayat-ayat tersebut mengingatkan baginda tentang pakatan yang dilakukan oleh orang Musyrikin Makkah terhadap baginda. Wahyu ini menggesa Nabi Muhammad SAW supaya segera berhijrah ke Madinah.

Laksamana menulis,
Mungkin ramai tidak setuju saya menceritakan bahawa Muhammad adalah pelarian. Ini kerana mereka fikir pelarian itu bermaksud orang yang lari (farra-yafirru) , dari perang yang dianggap sikap tercela dalam islam Seperti yang di maksudkan dalam surah Anfal ayat 15. Ini pemahaman salah . Pelarian bukan mereka yang lari dari perang. Bahkan perkataan pelarian ukan dari perkataan “lari” (فر من الزحف) atau bukan berpaling dari perang (التَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ) . Akan Tetapi pelarian yang dimaksudkan adalah daripada perkataan meminta perlindungan iaitu refugee. Salah faham ini hanyalah kerana kecetekkan sebahagian kita melihat terjemahan bahasa melayu. Dalam bahasa Indonesia refugee diterjemah sebagai pengungsi , bukan pelarian. Refugee berasal dari bahasa latin fugere bermaksud keluar secara tergesa-gesa dari bahaya. Di dalam surah al-kahfi disebut sebagai (ءاوى ) bermaksud mencari perlindungan.

Maka ini bermakna ‘pelarian’ , atau pengungsi, atau refugee bukanlah sifat tercela apatah lagi mustahil pada Nabi . Yang menganggap kaum imigran sebagai tercela hanyalah idea Abdullah Bin Ubay ketua kaum munafik (hipokrit), seorang api dalam sekam, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, duri dalam daging kepada komuniti muslim pada zaman Muhammad.

Aleav Nero Ardy response :
Sememangnya memang ramai dan majority tidak bersetuju dengan pendapat anda tentang pemahaman “Muhammad seorang pelarian” kerana ianya bercanggah dengan konsep penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Kami tidak menganggap definisi “Pelarian” itu bermaksud orang yang lari dari medan perang yang disandarkan kepada Nabi tetapi konsep “Pelarian” itu sendiri tidak sesuai dengan situasi yang terjadi kepada Nabi Muhammad SAW. Mengapa??

01 – Nabi Muhammad SAW menyatakan,
“Demi Allah, sesungguhnya engkau (Makkah) adalah bumi Allah yang terbaik, dan aku mencintai bumi Allah kerana Allah ,jika tidak kerana aku DIPERINTAHKAN untuk berhijrah, nescaya aku TIDAK AKAN keluar dari bumi ini.”
[Sahih Musnad Ahmad No.17969 dan Sahih Ibn Majah No.4/3108]

Dari hadith ini,jelas Nabi Muhammad SAW sendiri mengatakan bahawa baginda sendiri tidak akan berhijrah jika bukan kerana perintah dari Allah. Maknanya,ianya bukanlah satu bentuk pelarian.

02 – Ibn Abbas RA mengatakan,
“Rasullullah SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun dalam menyampaikan dakwahnya. Kemudian,baginda menerima wahyu daripada Allah untuk DIPERINTAHKAN agar berhijrah. Maka baginda berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.”
[Sahih Al-Bukhari No.3902]

dalam Hadith ini jelas memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla untuk berhijrah ke Madinah.

Dimanakah perintah Allah untuk Nabi Muhammad SAW berhijrah??….Firman Allah Azza Wa Jalla :
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika kaum kafir di Makkah mengeluarkannya dari negerinya sedangkan dia salah seorang daripada dua sahabat ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya dan menguatkannya dengan bantuan tentera yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir terbawah dan Kalimah Allah adalah yang tertinggi kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
[At-Tawbah 9:40]

dan juga dalil dalam Ali-Imran 3:195 / At-Tawbah 9:20-22 / An-Nahl 16:41 / Al-Anfal 8:30 / An-Nisa 4:100 dan Al-Hajj 22:58…

Maka jelas apa yang Nabi Muhammad SAW lakukan adalah atas perintah Allah BUKAN disebabkan desakan ancaman bunuh dari orang Musyrikin Makkah. Jika Allah tidak perintahkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk berhijrah ke Madinah,apakah Nabi akan melarikan diri??…Seseorang yang di istiharkan sebagai “Pelarian” tidak akan melarikan diri ke suatu tempat atas arahan sesiapa.

03 – Anda menulis,
“Akan Tetapi pelarian yang dimaksudkan adalah daripada perkataan meminta perlindungan iaitu refugee. Salah faham ini hanyalah kerana kecetekkan sebahagian kita melihat terjemahan bahasa melayu. Dalam bahasa Indonesia refugee diterjemah sebagai pengungsi , bukan pelarian.”

Disini kelihatan anda berputar belit. Mula-mula anda bersetuju mengatakan bahawa “Pelarian” itu bermaksud “Refugee”. Namun dalam rangkap ayat yang sama,anda menyangkal dengan mengatakan lagi bahawa “Refugee” itu bukan “Pelarian” tetapi “Pengungsi”. kebodohan apakah ini?. Untuk pengetahuan anda,definisi “Pengungsi” juga adalah sama dengan definisi “Pelarian”.
Sumber :
– https://id.wikipedia.org/wiki/Pengungsi

Menurut definisi umum,kalimat “Pelarian” (هارب atau اللاجئين) dari akar kata “lari” yang mana ianya dari kata kerja dan konsep “pelarian” itu merujuk kepada seseorang atau segolongan kumpulan yang melarikan diri atas kerelaan sendiri dari negara asal disebabkan faktor-faktor tertentu. Definisi “Pelarian” menurut UNHCR bermaksud orang yang melarikan diri dari Tanah Asal atas kerelaan sendiri disebabkan :
– menyelamatkan diri dari peperangan.
– Tidak mampu melindungi diri sendiri.
– Suatu revolusi yang terjadi di negara mereka.
– Dizalimi oleh pemerintah atau rakyat mereka sendiri.

Namun bagaimana seseorang yang membuat suatu tindakan perpindahan atas perintah Tuhan BUKAN kehendak sendiri,apakah ianya termasuk dalam kategori “Pelarian”??

04 – Anda menulis,
“Refugee berasal dari bahasa latin fugere bermaksud keluar secara tergesa-gesa dari bahaya.”

Saya setuju definisi ini namun gelaran “Refugee” yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah tidak sesuai. Ini kerana :
* Penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam Makkah ke Madinah dilakukan secara berperingkat BUKAN tergesa-gesa.

* Asbab utama penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam Makkah ke Madinah adalah atas dasar perintah Allah dan misi penyebaran Islam.

* Penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam ke Madinah adalah atas jemputan Khalid bin Zaid bin Kulaib @ Abu Ayyub Al-Ansari R.A,

Maka dengan ini,jelas menunjukkan bahawa syarat-syarat konteks “Pelarian” tidak menepati situasi penghijrahan Nabi Muhammad SAW.

Memandangkan anda mengatakan bahawa “Pelarian” itu tidak bersalahan dengan Hijrah,maka satu soalan untuk tuan Laksamana :
– bagaimana jika anda tinggal dalam sebuah perumahan yang mana dalam perumahan tersebut,anda di kutuk,di hina dan kemudian di ancam bunuh oleh jiran-jiran anda. Atas situasi tersebut,anda terpaksa berpindah ke perumahan lain atas tujuan keselamatan dan ingin cari keselesaan. Apakah tindakan anda berpindah ke tempat lain itu dilabel sebagai pelarian??

Jika YA,maka anda bercanggah dengan konsep “Pelarian” itu sendiri.

Jika TIDAK,maka anda setuju bahawa Nabi Muhammad SAW bukan pelarian.

Laksamana menulis,
Dalam sejarah tradisi Arbahamic (agama samawi: yahudi, kristian, islam) terlalu banyak kisah dan interaksi dengan golongan pelarian . Antaranya Musa as juga seorang pelarian. Kerajaan Usmaniyyah pernah mengambil pelarian Yahudi Spanyol pada tahun 1800an. Juga kisah-kisah orang islam bersembunyi dalam gereja di Jerusalam semasa diburu tentera Zionis.

Response :
Musa pbuh dan bani Israel melakukan perpindahan ke Tanah Yang Dijanjikan adalah atas perintah dan bantuan Allah Azza Wa Jalla dalam Exodus chapter 13 dan chapter 14 dan surah Ash-Shu’ara 26:60-67. Sebab itu dalam ada satu bab dalam Torah dinamakan “Exodus”. Lagi pula,pengeluaran mereka dari Tanah Mesir adalah untuk kembali ke Tanah Asal mereka disebabkan Bapa Keturunan Israel iaitu Yaakub pbuh berasal dari Tanah Kanaan dan baginda (Yaakub) adalah pembina Masjid Al-Aqsa yang asal dengan jarak 40 tahun selepas pembinaan Kaabah oleh Abraham pbuh dan Ishmael pbuh. Dan Allah memerintahkan mereka keluar dari Mesir pada waktu malam dan secara berperingkat. Maka tuduhan untuk mengatakan Musa pbuh dan bani Israel untuk keluar dari Mesir BUKANLAH dilabel sebagai “Pelarian”. Ini kerana tindakan mereka itu adalah atas asbab perintah Allah untuk selamatkan mereka.

Laksamana menulis,
Maka usah janggal jika kita ingatkan bahawa semangat persaudaraan antara manusia apatah lagi seagama bagai ansor-muhajir disaat ini harus disuburkan semula. Cuma soalnya begini, bukan soal perlu atau tidak kita kemanusiaaan tetapi soalnya bagaimana kita mengatur pelarian ini untuk tidak saling merosakkan satu sama lain.

Aleav Nero Ardy response :
Kami tidak merasa janggal perkataan “Pelarian” itu tetapi apabila konsep Pelarian itu telah termaktub mengikut pemahaman era moden kini yang selari dengan situasi tertentu mengikut konteks global,maka ianya tidak sesuai dan tidak wajar diletakkan kepada tindakan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah dan Nabi Musa pbuh dari Mesir ke Tanah Kanaan dalam sirah Nubuwwah mereka berdua.

Seperti kes isu Rohingya yang menjadi hangat pada masa ini,ya! mereka dikategorikan sebagai “Pelarian” kerana situasi yang sesuai dengan definisi dan konsep “Pelarian” itu sendiri. Namun dalam hal tersebut,ianya tidak seharusnya disamakan dengan sirah Nabawiyyah Muhammad SAW.

KESIMPULAN
Setelah diteliti,dikaji dan dijawab,maka jelas bahawa Nabi Muhammad SAW dan umat Islam bersama baginda adalah BUKAN Pelarian.

Disini saya berikan sumber yang memberikan hujah penjelasan terperinci mengenai perbezaan antara Pelarian dengan Penghijrahan dan sumber mendukung hujah yang saya kemukakan untuk menjawab article tuan Laksamana :
– http://sarjana.tripod.com/hijrah1.html

Semoga bermanfaat~

Assalam alaykum.

By